Hikmah di sebalik Israk dan Mikraj

July 30, 2008

Salam Isra Mikraj..

Salam Ukhwah seteko radix :)

Mari sama-sama menghayati ringkasan petikan teks khutbah ini. Moga memberi manfaat kepada kita semua..

Marilah kita mendengar firman Allah Taala yang menceritakan tentang peristiwa agung yang berlaku dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.

Walaupun para ulama telah bertelingkah di dalam menentukan bulan dan tahun berlakunya Israk tetapi ia adalah peristiwa yang benar-benar berlaku kepada Rasulullah s.a.w. kerana peristiwa ini dinyatakan oleh al-Quranul Karim dan diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadisnya yang sahih, yang diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi.

Matlamat yang penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah s.a.w. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu.

Firman Allah Taala (maksudnya):

Maha suci Tuhan yang telah menjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis) yang Kami telah berkati di sekelilingnya supaya Kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami (tanda-tanda kebesaran dan ketuhanan Kami), sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israk: 1)

Peristiwa Israk dan Mikraj untuk menyatakan Rasulullah s.a.w. adalah benar seorang rasul yang dipilih oleh Allah SWT, membawa satu agama dan pengajaran yang bernama Islam, firman Allah (maksudnya):

Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.” (A-li Imran: 19).

Dan Allah menyatakan juga (maksudnya):

Dan sesiapa yang mencari (berpegang) dengan agama selain daripada Islam, maka Allah tidak akan menerima dan pada hari akhirat dia tergolong dalam orang-orang yang rugi.” (A-li Imran: 85)

Pada malam yang bersejarah itu, Rasulullah s.a.w. dihimpun bersama dengan roh para nabi dan rasul ‘alaihimus solatu wassalam di Masjidil Aqsa, mereka solat berjemaah bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi imam kepada mereka.

Ini menandakan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu daripada mata rantai ajaran Islam yang bersambung-sambung dari seorang nabi dan rasul kepada nabi dan rasul yang lain, bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman, tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w.

Allah SWT memilih nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan manusia. Mereka terdiri daripada manusia yang memiliki akhlak yang luhur lagi tinggi, bersifat benar, amanah, menyampaikan, cerdik dan bijaksana di kalangan kaumnya dan dipelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa.

Adapun mereka yang tidak memahami dan buta al-Quran tidak akan percaya kepada peristiwa Israk dan Mikraj, kerana pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. ditemukan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan Bani Israil dan nabi-nabi dan rasul di kalangan umat-umat yang lain, yang cerita-cerita mereka disebut dalam al-Quran, sebuah kitab Allah yang masih wujud sehingga hari ini. Ini menandakan kebenaran al-Quran.

Kebenaran al-Quran bukan sahaja menandakan betulnya Rasululah s.a.w. bahkan juga menjadi pengajaran kepada umatnya. Semua nabi adalah menganut agama yang satu iaitu agama Islam.

Semua mereka bersolat dalam keadaan menghadap Allah SWT dengan cara-cara solat yang diajar oleh Allah. Semua nabi berpegang dengan akidah tauhid lailahaillallah, tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah, tuhan yang layak disembah kepada-Nya, tuhan yang menjadikan dan menguruskan alam ini. Alam ini tunduk di bawah undang-undang peraturan Allah, maka wajib manusia hanya tunduk kepada undang-undang dan peraturan Allah SWT. Itulah ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul yang terpaksa berjuang mengharungi perjuangan yang panjang.

Di dalam peristiwa itu juga ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w. rasul yang disertai oleh pengikut yang ramai. Ada rasul yang disertai oleh pengikut yang sedikit, ada yang berjalan seorang diri, ada nabi yang dibunuh dan ada yang dipenjara.

Itulah nabi-nabi dan rasul-rasul yang membawa ajaran Allah yang berdepan dengan cabaran golongan manusia yang menjadi bala tentera iblis yang akan wujud sehingga hari kiamat.

Peristiwa Israk dan Mikraj untuk meningkatkan semangat Rasulullah s.a.w. supaya jangan takut dan gentar di dalam perjuangan Islam, kerana Islam yang dibawa itu ialah Islam Allah SWT.

Seluruh kuasa besar yang ada dalam dunia adalah habuk-habuk yang kecil yang boleh ditiup angin, bahkan ia lebih kecil lagi apabila berdepan dengan ketuhanan Allah SWT pada hari kiamat.

Seseorang yang menganut Islam hendaklah merasa mulia, tinggi dan hebat dengan Islam, dengan syarat mereka berpegang dengan Islam. Allah SWT memuliakan umat ini dengan Islam. Kehinaan yang menimpa umat ini apabila mereka meninggalkan Islam.

Ditunjukkan pada malam Israk dan Mikraj itu di mana perginya orang yang berpegang dengan Islam sehingga mati dan ke mana arah orang yang menyeleweng dan meninggalkan agama Islam.

Orang yang berpegang dengan Islam diletakkan di syurga dan mereka yang menyeleweng daripada Islam berada di dalam neraka. Hal ini digambarkan dengan jelas supaya diberitahu kepada umatnya sehingga kiamat.

Marilah kita menghayati peristiwa Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar cerita yang berlaku di dalamnya tetapi yang lebih penting ialah untuk menambah iman kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam untuk sehidup semati dengan Islam sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT.

Firman Allah (maksudnya):

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (A-li Imran: 102).

Petikan dari teks khutbah Rusila

12 Ogos 2007

About these ads

4 Responses to “Hikmah di sebalik Israk dan Mikraj”

  1. cik kerikil Says:

    salam israk mikraj!

    hari ni saya cuba jadi org yg paling banyak komen dalam entry u.adham. lama x masuk, sekali masuk, menggeledah, setelah beberapa hari barula menjamak semua komen dalam satu masa.

    jika kita teliti perjalanan sirah nabi, memang bergenang air mata..dapatka kita merasakan debaran tatkala Rasul dikepung untuk di bunuh? Rasulullah menyakini yang Quraisy akan berusaha sedaya upaya mereka untuk memburunya dan jalan yang akan terlintas dipemikiran Quraisy ialah jalan utara menuju ke Madinah maka sebab itu Rasulullah mengambil jalan yang mencanggahi jalan ke utara, iaitu jalan yang berada disebelah selatan menghala ke negeri Yaman, baginda mengambil jalan itu yang sejauh lima kilometer hingga tiba ke bukit yang dikenali sebagai Jabal Thur, ianya mempakan bukit yang tinggi, jalannya sukar, pendakiannya berhalangan, berbatu-batu hingga melecet tapak kaki baginda (s.a.w).kata ibu, jika kita melalui jalan yg singkat,jalan utara, iaitu jalan yg biasa dilalui oleh org pun sudah cukup memeritkan,dengan panas luar biasa…apatah lagi jalan semak samun, berbukit, dengan pendakian yg memerlukan tenaga yg luar biasa.memang berlinang..

    kesedihan rasul bertimpa-timpa lagi berikutan kewafatan isteri tercinta, saidatina khadijah.Dan isra’ mi’raj ini, dikatakan sebagai salah satu hiburan dari ALLAH untuk rasulullah pada tika itu. ayat yg lebih mudah dibawa jalan-jalan..

    maaf ustaz…terlebih plak, x bermaksud menyaingi blogger… tambahan ckit jak..

  2. abudarwis Says:

    salam

    TQ mega :)

    komen n prkongsian yg mmberangsangkan. i really appreciate it.. :D

    xde ape2nya ustazah oii… saya ni protaz la.. hehe..

  3. fadhiel_ehya Says:

    ADA BEBERAPA PENGAJARAN YANG BOLEH DI AMBIL DARI SIRAH
    ISRAK WAL MIKRAJ

    PERTAMA yang ingin ditunjukkan selepas peristiwa Isra’ ini adalah pengakuan dengan sesungguhnya bahawa Allah SWT sebagai Tuhan Yang Esa, dan Nabi Muhammad adalah rasul dan hambaNya. Pengakuan dalam konteks meyakini bahawa alam ini dicpta olehNya dan tiada yang layak disembah, dipuji, mahupun dipuja melainkan Allah SWT. Serta menyaksikan kebenaran risalah dan wahyu yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

    KEDUA adalah kesedaran mengenai kepentingan mendirikan Solat, lebih-lebih lagi mendirikannya secara berjemaah. Kerana tonggak kekuatan diri adalah pada keikhlasan dan khusyu’nya kita mendirikan Solat. Manakala tonggak kekuatan jemaah adalah pada solat jemaah yang didirikn secara konsisten dan istiqamah. Sebagaimana sabda RasuluLlah;

    Perbedaaan orang yang beriman dengan orang kafir itu ialah meninggalkan solah

    .(RIwayat Muslim)

    Mengabaikan berita dan hasutan palsu yang dilemparkan terhadap Islam. Digambarkan dalam hadith di atas tentang perihal Abu Jahal yang sentiasa mencari jalan memesongkan keimanan umat Islam. Maka

    KETIGA adalah untuk sentiasa berwaspada terhadap musuh Islam yang nyata. Dalam konteks kita pada hari ini, orang-orang kafir yang sentiasa aktif mencari helah dan tipu daya untuk menyesatkan kita. Begitu juga syaitan dan Iblis yang telah bersaksi dan bersumpah akan menyesatkan manusia dan mengheret semua manusia untuk berkongsi balasan siksa di neraka. Na’udzubiLlah. Allah mengiktiraf bahawa syaitan itu seteru utama kita dan Allah memperingatkan telah ramai di kalangan manusia yang telah, sedang, dan akan disesatkan oleh Syaitan. Sepertimana firmanNya;

    “Dan sungguh, ia(syaitan) telah menyesatkan sebahagian besar di antara kamu. Maka apakah kamu tidak mengerti” (Surah Yasin : 62)

    KEEMPAT yang sempat dikongsikan adalah kewaspadaan kita terhadap musuh yang tidak kita nampak. Namun musuh ini jauh lebih bahaya daripada musuh-musuh yang disebutkan di atas. Merekalah musang berbulu ayam, bahkan Syaitan yang bertopengkan manusia. Merekalah golongan munafiq yang mendakwa mereka beriman, namun apa yang mereka lakukan dan usahakan semuanya hanyalah menjurus kepada menjerumuskan masyarakat dan mereka sendiri ke lembah kebinasaan. Jaringan Islam Liberal, Sisters In Islam, Islam Bertamadun dan pelbagai tempelan nama yang bertemakan Islam tetapi telah disalahgunakan untuk menyesatkan umat Islam.

    Walaubagaimanapun, keterikatan diri kita dengan masjid dan melazimkan diri kita berada di dalam kalangan orang-orang yang baik dan beriman adalah antara jalan keluar yang terbaik untuk diri kita. Sesungguhnya terlalu banyak fitnah dan ujian yang Allah lemparkan kepada kita, maka yakinlah keikhlasan dan kesungguhan kita akan dapat menepis segala godaan.

    Sekadar ini sahaja, moga dipermudahkan Allah dalam setiap urusan. Segala yang baik adalah kurniaan dan anugerah dari Allah, sedangkan yang buruk itu berpunca daripada kelalaian dan kedangkalan ilmu yang ada pada diri. Kita serahkan segalanya pada Allah kerana Dia Yang Maha Mengetahui. Buat yang empunya blog terima kasih kerana memberi ruang dan peluang menyalurkan dakwah.

  4. Ust.Sabudin Says:

    Pengajaran dari peristiwa israk wal mikraj secara ringkasnya adalah :
    1 – Manusia hendaklah memikirkan tentang kejadian Allah dan kekuasaan Allah untuk mendekatkan diri kepada Allah serta menjadi manusia yang bersyukur dengan segala nikmat Allah

    2 – Untuk mengadap Allah hati hendaklah dibersihkan terlebih dahulu dari segala sifat mazmumah barulah khusyuk dan tawaduk itu datang mendampingi kita

    3 – Umat Islam tidak akan terlepas dari gangguan syaitan dan juga musuh-musuh islam

    4 – Berhatilah-hatilah dengan dunia kerananya lah manusia boleh menjadi golongan yang kufur dengan Allah serta lupa kepada Allah kerana terlalu pentingkan keduniaan

    5 – Utamakan solat dalam kehidupan kita


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: