Archive for April 28th, 2009

Ketuk diri sendiri

April 28, 2009

Saya ulang lagi dalam entri berturut pagi ini..

Sebagai manusia, saya hormati kehendak dan hak individu. Tetapi, sebagai muslim yang percaya akan hari kebangkitan, saya mesti bertegas. Saya belum capai level ketegasan dalam beragama. Jauh lagi rasanya..

Semakin umur meningkat, amanah sebagai anak sulung semakin bertambah. Andai berkorban dalam pelbagai perkara pun, bukanlah suatu yang asing kerna ia memang tugas anak pertama. Lebih-lebih lagi lelaki. Ada sahabat dari Sabah, juga anak sulung lelaki, lama berkelana di tanah semenanjung mencari rezki untuk keluarga di Tawau. Hampir 30 umurnya.

Jadi, andai  rasa berat dengan amanah ini, saya seharusnya berfikir bahawa ada orang lain yang lebih berat memikul tanggungjawab yang sama.

Pesan abah, “Ham mesti kuat. Ham tempat adik-adik berpaut. Mak harapkan ham.”

Saya hanya ada tiga saja adik perempuan. Maknanya kami empat beradik bukanlah ramai. Tapi, saya tidak boleh terlepas pandang terutama dari segi pengisian (tarbiyah informal). Selagi mereka belum berkahwin, mereka tanggungjawab saya. Adik beradik ayah ada 13 orang semuanya. Wah, macamana Pak long nak pantau 12 orang di bawahnya? Abah tak cerita banyak tentang itu. Tapi saya percaya zaman ini cabarannya lain dan mungkin lebih berat. Zaman di mana kita boleh ‘diintai’ dimana-mana secara maya.

Saya bukan lahir dari keluarga tarbiyah. Abah seorang kakitangan felda yang akan bersara hujung tahun ini dan emak surirumah professional. Tapi, sewaktu kecil, mak dan abah sangat menekankan dua aspek iaitu solat dan Al Quran. Ketika umur saya 7 tahun, saya sudah boleh membaca Al Quran dengan baik. Ketika kawan-kawan sepermainan masih merangkak berpeluh-peluh mengeja, saya sudah khatam buat kali pertama ketika berumur 9 tahun. Perasaan bangga seorang budak yang agak  nakal ketika itu sangat tinggi. Maklumlah, nama pun budak.

Pada saya, Islam hanya itu. Boleh mengaji dengan baik, jaga solat, boleh membaca jawi, boleh azan, dan menolong ibubapa. Pada ketika itu, ya.. Bukan sekejap saya kira. Ia lama sehingga umur mencecah 15 tahun. Saya boleh ingat begitulah lebih kurang. Selepas itu, saya mula belajar sendiri untuk memahami. Proses pemahaman tidak berlangsung dengan mendadak. Saya mengambil masa yang panjang dan saya dapat merasakan jalan  menuju perubahan yang dilorongkan dengan terusun oleh Allah Taala. Berkat keinginan yang kuat dan doa yang berterusan, saya wajar berbangga dengan Islam yang ada pada diri saat ini.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

sahabat-sahabat yang budiman,

Mempertahankan kesucian iman dan Islam lebih sukar dari menggapainya. Kita tidak tahu apa muslihat musuh licik yakni syaitan laknatullah.  Dalam acara larian 5000 meter misalnya. Untuk kekal dihadapan adalah lebih sukar kerana pelari di belakang lebih mudah memasang strategi untuk memintas.

Pastinya kita tak rela dipintas. Taknak dipintas, maka stamina mesti power, cara larian kena betul, tepat dan jangan tersadung kaki sendiri.. Akibatnya, boleh jatuh berguling. Sudahlah jatuh, kena pijak pulak dengan pelari-pelari lain.  Silap-silap, jadi ‘cacat’. Ya Allah, sakitnya!

Nauzzubillah! Jangan biar iman kita cacat sedara!

Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus. Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?

Yassin 36 : 60 – 62

Inilah dia! koreksi diri di pagi hari.

Campur cerita lama sikit. Sekali sekala ingat yang lama, ada manisnya. Pahit pun  terasa. Pahit sikit. Tak mengapa. Saya ada agenda baru dengan sahabat-sahabat hari ini. Al maklum, meraikan diri sendiri yang baru lepas final exam. :) Tengoklah, kalau menarik boleh dikongsikan. Kalau tidak, senyap-senyap jelah.. he hee..

Wallahua’lam..

ps: sebelum masuk agenda baru, kena pekene radix dulu :D