Archive for the 'copy and paste' Category

Soalnya hati di kala menangnya ‘jebat’

April 8, 2009

Sehebat-hebat dan sejahat-jahat kerajaan pasola, akhirnya mereka terpaksa akur dengan pengaruh ‘Jebat’ yang benar. Suka untuk saya nyatakan bahawa saya berasa sangat gembira dan teruja bukan kerana ‘UMNO is falling down’ tapi kerana ‘Jebat’ mendapat tempatnya kembali.

Mebebaskan 13 tahanan ISA nampaknya tak memberi apa-apa kelebihan malah ia taktik lapuk yang turut digunakan Tun Pak Lah yang melepaskan DSAI semasa beliau baru menerajui kepimpinan..

Ya, ia belum berakhir. Masih awal. Pak Najib pastinya tak duduk diam dan tak reti nak berdiri atau berlari setempat selepas kekalahan di dua bukit. Kita tengok nanti..

Baik. Kita beralih..

‘Inni akhafullah harabbal ‘alamin’.

Ia sangat mudah dilafazkan. Membinanya?

Ia persoalan jelas tentang krisis iman dan taqwa yang belum berkesudahan. Membina ketakutan yang ampuh terhadap Pencipta Allah Rabbul Jalil sangat sulit apatah lagi dalam menghadapi cabaran akhir zaman yang benar-benar menekan. Skop persoalan mungkin lebih tertumpu kepada golongan umur pertengahan. Saya,  abang-abang, adik-adik dan kakak-kakak kita.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan dari Isa bin Yunus al-Ramliy , dari UQbah bin Alqamah bin Khadiej al-Ma’afiriy dari Artah bin al-Munzir dari Abi Amir al-Alhaniyy dari Tsauban dari Nabi s.a.w bahawa Nabi s.a.w bersabda :

Sesungguhnya aku mengenali segolongan manusia dari umatku yang akan datang pada hari Kiyamat dengan kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih itu lalu Allah menjadikannya debu-debu yang berterbangan.Kata Tsauban kepada Nabi : Wahai rasululLah ceritakanlah keadaan mereka pada kami supaya kami tidak jadi seperti mereka dalam keadaan kami tak mengetahuinya.Nabi memberitahu : Mereka merupakan saudara-saudara kamu dari bangsa kamu sendiri, mengerjakan ibadah pada malam hari sepertimu juga tetapi mereka adalah golongan yang apabila bersendirian mereka terjebak melakukan perbuatan-perbuatan yang diharamkan ( bila mendapat peluang melakukannya di belakang manusia )

Riwayat Ibn Majah no 4245, Kata al-Munziri perawi-perawinya adalah thiqat .Dikeluarkan olej al-Rawiyyaniy no 651, al-Tabaraniyy dalam al-Awsat no 4632 , al-Saghier no 662 dan al-Dailamiyy dalam Musnadnya no 7715 .Dinilai sebagai sahih oleh al-Albaniy

Maksudnya jelas.

Mudah kita gambarkan keadaannya. Di depan manusia yang ramai peribadi kita mengkagumkan. Baik, alim, sopan pendek kata ‘pijak semut tak mati-mati’. Sebaliknya ketika berseorangan, lain pulak pe’el kita. Diluar jangkaan sungguh. Ia jenayah yang sukar dimaafkan. Menipu manusia ramai adalah kesalahan besar.

Banyak beramal ibadah di hadapan manusia tapi hancus amalnya bila bersendirian. Dengan siapa dia beramal? Kepada siapa? Mahkluk atau khaliq? Takut akan Allah atau takut tak dapat pujian manusia?

Sejak dulu saya suka memerhati dan berfikir. Bukan mencari lemah manusia lain kerana kelemahan itu ada pada saya sendiri. Namun, pelik yang timbul ialah mudahnya manusia menonjolkan diri untuk tujuan sesuatu yang tersirat. Sedangkan ia tidak pernah dilakukannya sebelum ini malah ia berlaku secara tiba-tiba. Matlamatnya mungkin tercapai dan saya tidak pernah untuk suudzon walau sedikit pada awalnya. Sungguh! Tapi bila melihat telatah dan sikapnya di tempat lain, saya jadi marah dan kecewa. Mungkin saya tak  perlu terlalu husnusdzon atau bertenang saja. Bagaimana?

Atau saya yang terlalu memeningkan kepala?

Mudah.. Saya bawa ia ke dalam diri sendiri. Bagaimana saya di khalayak manusia dan bagaimana pula saya ketika seorang diri? Saya suka membanding-bandingkan keadaan dan keupayaan saya istiqamah dalam beramal ketika saya berada dilokasi yang berbeza. Paling mudah solat fardhu, Al Quran dan ma’thurat. Ya, nyata sekali ia berbeza. Di kampus ia nampak sangat mudah untuk disudahkan. Malah sukar untuk ditinggalkan walau sekali. Di rumah sewa dan di kampung Allah saja yang Maha Mengetahui kesulitannya. Adakah itu tanda tidak ada atau kurang takut kepada Allah?

Saya memikirkan begitu banyak faktor yang menghalang.

Soal hati lagi. Mahu saja menyalahkan godaan syaitan semata-mata. Ya Allah..

“Adham, surau Dahlia, syakirin atau masjid?”

Hari-hari dan hampir setiap waktu solat fardhu. Kami merancang nak berjemaah di mana. Memang biasa kami tak setempat saja. Ada tiga surau di sekitar kawasan Pangsapuri Mawar, Bandar sri Putra ini. Tidak ada alasan untuk berkata tidak kepada bersolat jemaah. Buatlah apapun untuk memaksa diri dan  mengingatkan sahabat-sahabat. Dan saya mesti bersedia juga untuk diingatkan.

Sahabat-sahabat,

Dalam tempoh dan masa ini, sebelum kita melangkah ke alam rumah tangga yang lebih getir (kepada yang masih single mingle), adalah mustahak untuk kita sentiasa berusaha demi memastikan keutuhan dan kestabilan pelbagai aspek. Bukan setakat kerjaya dan ekonomi lebih dari itu ialah kebolehan memimpin dan menjadi qudwah (lelaki) dalam setiap perkara.

Kita hanya insan yang lupa tapi jangan kita terlupa bahawa Allah tidak pernah melupakan setiap perbuatan dan kelakuan kita hatta sekecil zarrah. Baik mahupun sebaliknya. Allahu’alam :)

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Az-Zalzalah 99: 7, 8

ps: Biarpun ‘jebat’ mendapat tempatnya kembali tetapi musuh masih ramai. Patik tak risau sangat sebab majoriti rakyat jelata dibelakangnya :) Moh radix kita!!! :D

Imtihan dan Khutbah jumaat; ANGKUH

February 16, 2009

Bismillah WalhamduLillah,

Peperiksaan akhir bermula hari ini.. Taqwim KUIS memang beza dari IPT lain.. Tapi KUIS sendiri belum sampai level lain dari yang lain :)   InsyaAllah..

First paper saya hanya akan bermula 26 Feb nanti.. dan last paper 6 mac.. 8 mac hari ulangtahun Pemerintahan Pakatan Rakyat di 5 negeri.. Termasuk Perak yang sekarang ditadbir BN. Kononnya la :D

Kepada sahabat-sahabat seperjuangan ku, selamat berjuang dimedan kertas.. Doakan kejayaan bersama :)

Sahabat,

ANGKUH.. Itulah tajuk khutbah jumaat di Masjid Al Azhar KUIS 13 Feb yang lalu.. Teks Khutbah yang dikarang oleh Pensyarah Usuluddin KUIS, Ust Abu Zaki Ismail yang mana beliau jugalah khatibnya.. Sangat terkesan di hati sehinggakan saya tidak terlelap walau sedikit untuk entah kali ke berapa :) Saya tak nak bakhil dalam berkongsi perkara yang baik dan berfaedah.. Dengan kebenaran Al Fadhil Ust Abu Zaki yang mengemelkan kepada saya untuk dijadikan rujukan dan renungan, saya dengan ini mempersilakan sahabat-sahabat untuk membaca dan mengambil ikhtibar darinya, kemudian disampaikan kepada yang lain.. InsyaAllah :)

taman15

Sidang Jumaat sekalian,

Marilah kita meningkat ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan meningkatkan sifat kehambaan dalam diri kita sebelum kita dibangkitkan di hadapan Tuhan, Ar-Rabbul Jalil.

Satu jam yang lalu, kita tidak berada di dalam masjid ini. Sepuluh tahun yang lalu, tidak ada sesiapa di kalangan kita berada di kawasan ini. 80 tahun yang lalu, kita semua masih belum ada di atas muka bumi ini. Itulah kita, manusia yang suatu ketika dahulu tidak wujud & tidak dikenali oleh sesiapa pun. Lalu, Tuhan mencipta kita, kita hidup & membesar dewasa, sebahagian dari kita menjadi hamba Tuhan yang patuh. Manakala sebahagiannya pula menjadi penentang agama Tuhan yang angkuh.

Allah SWT menggambarkan persoalan ini dalam surah Yaasin. “Tidakkah manusia itu melihat bahawa Kami telah ciptakan mereka dari setitis air mani, tiba-tiba dia menjadi penentang yang nyata.”

Manusia yang asalnya tiada, kemudian lahir dalam keadaan lemah, membesar dalam keadaan dipimpin dan dibimbing, akhirnya berubah menjadi angkuh, lantaran kurniaan ALlah juga kepadanya. Surah al-Alaq menggambarkan suasana itu. “Tidak sekali2. Manusia itu memang melampau. Kerana dia mendapati dirinya sudah kaya/istaghna”

Antara manusia2 angkuh itu adalah Namrud dan Firaun, dua orang raja yang mengaku sebagai Tuhan. Namrud tidak disebut namanya dalam al-Quran. Cukup Al-Quran menggambarkan sikap angkuhnya kerana diberi kurnia oleh Allah. Firman Allah swt:

Al Baqarah 2: 258

Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

Sidang Jumaat sekalian,

Manakala manusia kedua adalah firaun. Ia lebih banyak disebut oleh Al-Quran. Firaun bukanlah nama seorang manusia. Ia adalah gelaran raja-raja Mesir. Ada ramai firaun di Mesir termasuk Tut An Amun, Ramses, Thebes dan Nefriti. Ada yang baik seperti Amenhetop. Ada yang zalim dan mengaku Tuhan, iaitu Ramses II. Namun al-Quran menjadikan gelaran firaun sebagai pengenalan identiti manusia yang angkuh ini. Al-Quran tidak memperkenalknnya sebagai Ramses atau Ramses II. Al-Quran memanggilnya firaun, gelaran yang menjadikannya angkuh, bukan nama Ramses yang diberikan kepadanya ketika dia masih kecil dan masih bergantung kepada orang lain. Kedudukan dan pangkat sering menyebabkan manusia menjadi angkuh dan sombong. Kerana ini jugalah, dalam perang Badar, apabila kepala Abu Jahal dipenggal dan dibawa kepada Rasulullah SAW, baginda lalu bersabda: “Hari ini binasalah firaun umat ini.” Sedangkan Abu Jahal tidak pernah menggunakan gelaran itu. Namun, sifat angkuh dan puncanya adalah kedudukan beliau yang sama dengan Ramses II sebagai firaun.

Berbeza dengan firaun yang sombong, Al-Quran menceritakan tentang segolongan manusia yang baru sahaja beriman, tetapi terus tunduk kepada Allah SWT. Mereka adalah ahli-ahli sihir, yang dikumpulkan oleh firaun bagi menentang Nabi Musa AS dengan mukjizatnya. Firman Allah SWT:


Surah Ta-ha 20: 71

(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa”.


Surah Ta-ha 20:72

Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal”.


Surah Ta-ha 20:73

Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.

Itulah kisah manusia beriman, yang baru beriman, tetapi sanggup berhadapan dengan tindakan firaun, manusia angkuh yang melakukan tindakan semahunya. Mereka hanya berkata: “hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.”

Golongan mantan-mantan ahli sihir itu telah mengutamakan iman berbanding ganjaran dan kedudukan yang ditawarkan oleh firaun, jika mereka dapat mengalahkan Musa AS dalam pertandingan sihir itu. Walaupun mukjizat Nabi Musa AS telah mengalahkan sihir dalam medannya sendiri, firaun tidak mengiktiraf kemenangan Musa AS. Sebaliknya mengambil tindakan pula ke atas kumpulan ahli sihir yang telah beriman tanpa mendapat izin darinya terlebih dahulu.

Demikianlah pilihan orang-orang beriman ketika berhadapan dengan cabaran sikap angkuh manusia. Golongan beriman itu sentiasa ingat kepada Tuhan mereka dan meletakkan keutamaan kepada perbicaraan akhirat. Di mana, segala pangkat dan kedudukan sudah tiada lagi kerana semua manusia akan mengadap Tuhan dengan status dan kedudukan yang sama iaitu hamba. Firman Allah SWT dalam surah Maryam:


19:93

Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.


19:94

Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu.


19:95

Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.

Khutbah Jumaat pertama pada 13 Februari 2009, Masjid AL Azhar KUIS,

Ditulis dan dibaca oleh Ustaz Abu Zaki Ismail,

Pensyarah Usuluddin KUIS

ps: ma’a taufiq wannajah fi imtihan :)



Ada sesuatu yang santai hari ini..

December 25, 2008

Salam percutian bersama secawan radix :)

Awal pagi yang penuh kedamaian, selepas mengalunkan ma’thurat di telinga sendiri dengan minda yang separa sedar (maklumla cuti, hehe), saya nak kongsi satu artikel yang saya dapat dari seorang sahabat yang menuntut di Malaysia Timur. Artikel ni ditulis oleh seorang pensyarah UMS yang saya fikir artikel beliau ini, membuka ruang dan peluang kepada saya menilai kembali bagaimana kehidupan berumahtangga yang kita inginkan especially dikalangan aktivis-aktivis dakwah la.. Kepada sahabat-sahabat di tahun akhir, mungkin artikel ni sesuai untuk kalian. Artikel ni tak berat bagi saya. Santai je.. Pilihan di tangan kita.. Selamat membaca :)

KAHWIN ORANG USRAH??? BEST KE?

Ramai pemuda yg ada kesedaran Islam bertanya kepada saya…perlukah kita cari pasangan dari kalangan yg telah ditarbiah (diusrahkan) dan sefikrah ?

Allah SWT berfirman dalam al-Quran (Surah al-Nur: 26):

(Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat, lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat. Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik)

Rasulullah SAW bersabda (Riwayat Ibn Majah dan al-Dar Qatni: dhaif):


(Pilihlah untuk benih kamu (tempat yg baik) dan nikahilah yg sekufu’ dan bernikahlah dgn mereka)

Konsep sekufu’ yg biasa di bicarakan oleh ulama melibatkan pelbagai kategori dan yang paling utama ialah aspek ‘agama dan akhlak’. Aspek agama melibatkan kefahaman terhadap agama, perlaksanaannya dan memperjuangkannya (faham, amal dan dakwah).

Tatkala dunia sudah mula ketandusan anasir-anasir beragama dan berakhlak dalam masyarakat khususnya selepas kejatuhan empayar Ottomon 1924 M, muncul gerakan Islam di seluruh dunia yang ingin mengembalikan semula ketamadun Islam. Malangnya saat itu Islam sudah mula kekurangan modal Insan berkualiti yang mantap seperti mana zaman kemunculan Islam dahulu yang dipimpin oleh Rasulullah SAW. Yang ada adalah umat yang dipenuhi virus sekularisme, hedonisme, tak yakin dengan kemampuan agama sendiri dan berkiblatkan barat dalam kebanyakan aspek kehidupan mereka. Gerakan-gerakan Islam ini merasakan perlunya membina semula ummah ini dari bawah dan kerja pertama ialah mewujudkan semula individu-individu muslim berkualiti yang akhirnya faham agama ini dengan kefahaman yang sahih, mengamalkannya dan seterusnya berpotensi untuk digerakkan dalam perjuangan. Ikhwan Muslimin yang muncul pada 1928 M antara pelopor kebangkitan tersebut telah memperkenalkan pelbagai medium tarbiah untuk melahirkan tujuan tersebut. Lahir program usrah, halaqah, jilsah, tamrin, mukhayyam, daurah dan pelbagai istilah lain…semuanya bertujuan melahirkan individu-individu muslim yang memiliki kualiti yang mampu mengerakkan Islam ini semula. Dalam program-program ini, ahli disuntik dengan kefahaman Islam bersilibus, dipertingkatkan tahap kerohanian melalui ibadah khususiah dan diperjelaskan tentang halatuju dakwah, manhaj hidup dan peranan sebagai seorang muslim.

Setelah lahirnya peribadi-peribadi muslim ini diharapkan mereka akan dipersatukan antara lelaki di kalangan mereka dgn perempuan yang sama-sama telah ditarbiah dgn kefahaman yang sama, halatuju yang sama, citarasa yang sama dan keinginan yang sama dalam rumahtangga dakwah. Menjadi kubu kuat ummah dan kilang yang bakal melahirkan generasi baru yang mewarisi perjuangan ibubapanya. Kata Imam Hassan al-Banna diharapkan dari sini akan lahirnya masyarakat Islam, negara Islam, khilafah Islamiyyah dan Islam kembali menjadi ‘tok guru’ kepada alam atau istilah kotemporari…kuasa besar dunia. Ketika itulah Islam mampu menjadi tamadun yang mampu merealisasikan peranannya membawa keadilan kepada manusia dan keamanan sejagat sesuai dengan iradah Allah SWT yang menjadikan alam ini dan isi-isinya. Hebat bunyinya….

Kegagalan seorang akh dan akhawwat yang ditarbiah dalam membentuk rumahtangga dakwah adalah tanda ia gagal dalam dakwah!. Segala tarbiah yang ia terima bertahun lamanya bukan menjadi hujah kepadanya bahkan menjadi hujjah ke atasnya di akhirat nanti. Ini kerana tarbiah dan dakwah adalah amanah Allah yang paling besar, kerja para nabi dan rasul dan trademark kemuliaan mereka mengatasi manusia yang lain.

Persoalannya… bolehkah terbentuk rumahtangga dakwah di antara seorang akh atau akhawwat yang pasangannya dibesarkan di jalanan, usrahnya dibuat di panggung wayang bersilibuskan love story ala barat…apa yang mereka faham tentang perjuangan? Tentang rumahtangga dakwah? Mungkin baik sikit sebab calon isteri itu walau tak dibesarkan dalam universiti usrah tarbawiyyah tapi amat menjaga ibadahnya dan labuh tudungnya…tapi, adakah hanya dengan tudung labuh sudah cukup untuk melahir dan membesarkan anak-anak menjadi wira dan srikandi yg menyambung perjuangan bapanya. Apatah lagi kalau tudung tak labuh atu tak bertudung + tak faham Islam….dia nak jadikan rumahtangga tu apa? Kaedah fiqh menyebut..orang yang tiada apa-apa tak mampu memberi apa-apa.

Memang suami boleh tarbiyyah isteri jadi faham macam dia. Tapi ini bergantung pada kemampuan dan kekuatan suami. Tak mustahil suami pula yang kena tarbiah oleh isteri..he he. Kalaupun mampu mentarbiyyah… tarbiyyah memerlukan masa yang panjang baru datang kesannya. Entah-entah dah anak ke sepuluh baru isteri tu faham perjuangan…anak pun dah besar dan dah terlewat untuk dibentuk…itu andaian je.

Bagaimana dengan akhawwat yang kahwin dengan lelaki yang tidak memiliki kefahaman dan tak kenalpun apa itu dakwah dan perjuangan? Lagi haru biru dibuatnya. Ini kerana Islam telah letak suami sebagai pemimpin keluarga, pembentuk polisi dan budaya rumahtangga. Isteri kena taat selagi tak maksiat. Senangkah nak tarbiyyah suami? Perempuan senang ke nak tarbiah lelaki yang terkenal dengan egonya? Tak mustahil tapi biasanya tak mudah…akhirnya terpaksalah hidup bersabar seperti Asiah dengan suaminya Firaun..menghitung hari menunggu mati. Takpe Asiah isteri Firaun dijanjikan Allah masuk syurga, tapi bagaimana dengan Asiah-Asiah yang lain…(Tapi ustaz…suami saya tak le seteruk Firaun…sure ada yg akan cakap begitu). Saya bicara dalam konteks rumahtangga dakwah…bukan rumahtangga biasa yang berselerak dimana-mana…

Berbeza dengan akh dan akhawwat yang telah sama-sama ditarbiah…mereka umpama telah memperolehi kek yang telah sedia dihidang..tinggal makan sahaja. Tak semua orang mahir membuat kek walau resepi dan bahan-bahan telah tersedia…kalau tak mahir, bantat (tak naik) nanti jadinya.

Satu persoalan lagi…perlu kah ambil yang se fikrah, se jamaah…atau boleh ambil dari jamaah lain. Memang Islam tak syaratkan semua itu dalam menghasilkan perkahwinan yang sahih. Cuma cuba fikir sejenak, setiap gerakan pasti ada kelainan cara perjuangan. Bahkan kefahaman Islamnya juga berbeza kerana buku-buku bacaan usrahnya juga berbeza. Ada gerakan tak kisah akidah apapun asal Ahlu Sunnah wa Jamaah, tapi ada yang bentuk pengikutnya terfokus kepada akidah salafus soleh yang suci dari sebarang pencemaran takwil. Ada gerakan yang tak kisah sangat dengan amalan bid’ah dan khurafat asal sokong mereka, tapi sesetengahnya amat peka dengan permasalahan tersebut. Ada gerakan yang sangat ketat dalam tarbiah dan menapis keahlian. Tarbiahnya cukup lama untuk sampai ke level tertinggi, tapi ada yang tak kisah, setahun usrah pun dah boleh jadi pemimpin. Kewajipan kita menghormati pendekatan masing-masing dan memperjuangkan apa yang kita yakini bersungguh-sungguh. Tapi itu bukan alasan untuk berperang. Ingat!! disaat umat Islam berperang sesama sendiri itulah biasanya musuh menyerang..akhirnya tiada siapa yang untung.

Rumahtangga…ia sepatutnya merupakan jamaah kecil yang jelas halatuju, manhaj, wasilah dan peranannya. Untuk itu, tak dapat dinafikan, lagi senang kalau yang memang sama-sama sefikrah. Dah tahu rutin dakwh masing-masing. Faham peranan masing-masing. Takde lah nak bertengar pendekatan dakwah apa yang nak di guna pakai…tarbiah ke politik? Sosial ke ekonomi…Bila suami kata nak keluar pergi usrah, isteri dah tahu bentuknya sebab dia juga dibesarkan begitu.

Bagi yang berlainan fikrah walau sama-sama memperjuangkan Islam yang sama, pasti muncul masalah…terpaksa lah guna kaedah: ”tolong menolong pada perkara yang disepakati dan bertolak ansur dalam masalah yang diperselisihkan’ ‘. Cuma laratkah bertolak ansur kalau banyak sangat yang berbeza. Laratkah bertolak ansur bertahun-tahun lamanya. Akhirnya tak mustahil akan ada yang mengalah…mengalah dalam perjuangan yang diyakini hanya kerana nak memenangi hati pasangan tak semestinya baik untuk dakwah walaupun mungkin baik untuk keharmonian rumahtangga.

Antara suami isteri yang berlainan citarasa makanan (sorang suka tempoyak sorang lagi tak) pun boleh bermasam muka apatah lagi berlainan citarasa perjuangan. Sorang suka bakar ikan pakai arang, sorang lagi bakar atas kuali pun satu masalah…sekurang- kurangnya akibat berlainan cara bakar dan nak jaga hati pasangan terpaksa beli dua-dua alat pembakar…banyak sikit la kos nya berbanding beli satu yang disukai bersama…he he..apatah lagi manhaj yang berlainan dalam dakwah dan dalam membentuk keluarga.

Cuma kalau sudah terkahwin kerana dah tak jumpa yang setarbiah dan sefikrah…kena salahkan diri sendiri dulu sebab jodoh itu pilihan diri bukan takdir semata-mata. Takde cara kalau nak jadikan rumahtangga tu bersifat dakwah kecuali dengan mentarbiah pasangan sesuai dengan citarasa diri…selalunya lelakilah yang akan menang bila bertembung 2 perjuangan…sebab tu payah tarbiah akhawwat walau mereka paling ramai berkesedaran. Selalunya dakwah akan kehilangan bayang mereka bila dah berumahtangga khususnya dengan lelaki yang kosong halatuju…kalau tarbiah itu bisnes; ia umpama pelaburan bertahun-tahun yang tak menguntungkan… kalau balik modal tu okey gak…

Cuma kadang saya sedikit hairan…ada pemuda/pemudi yang yakin bahawa perjuangan yang diikutinya itu benar, syumul, dekat dengan sirah Rasul…tapi bila pilih pasangan cari yang berlainan. Padahal kat depan mata ada pun pilihan yang memenuhi perjuangannya? Mungkin ia pun dah jadi macam orang lain mementingkan ukuran duniawi sebelum ukhrawi? Was-was dibuatnya, adakah dia hidup mendahulukan perjuangan atau mendahulukan pasangan?…Entahlah, cuma kat akhirat pasti akan dipersoalkan. . apatah lagi kalau gagal menjadikan rumahtangga kubu perjuangan.

Bagi yang tak ikut usrah…saya tak kata kalian 2nd class…tapi pastinya kefahaman tak sama dengan yang berusrah. Allah pun menyebut dalam al-Quran bahawa tak sama orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu…saya juga tak berani nak kata orang yang berusrah itu confirm masuk syurga atau perfect sebagai muslim sejati…Cuma yang hebatnya, mereka miliki keinginan untuk berubah dan ada kesedaran untuk berjuang berbanding kalian. Cuma kalau yang dibentuk dalam usrahpun tak menjadi? Bagaimana yang langsung tak dibentuk? Kecuali mereka yang dilahirkan dalam keluarga yang cukup soleh, nafsu syahwat pun tak berapa berfungsi dan kebal dari godaan duniawi…atau lahir sebagai malaikat.. kerana itu kalau rasa hidup ini ada peranan dan rasa sukar nak jadi baik atau teringin nak masuk syurga yang terlalu mahal harga dan nilainya…(kerana Allah jual ia hanya dengan perjuangan dan kesanggupan mengorbankan nyawa dan harta)…eloklah cari-cari usrah untuk diikuti (kat UMS kakak2 dan abang2 dalam EKSAH, luar EKSAH byk buat usrah2 ni..follow lah mana-mana, insyaAllah mereka akan ajar kalian jadi baik dan berjuang…sbb saya tak jumpa lagi mereka ajar bunuh orang atau bom bangunan…kah kah). Mana yang terbaik..saya takde jawapan…lu pikir la sendiri..

Harap baca gak artikel sahabat saya di:
http://satuperkongs ian.wordpress. com/2007/ 05/30/cinta- oh-cinta/

Bagi yang merasakan ingin memberi output maksimum untuk dakwah setelah penat orang mentarbiah kita…bincanglah dengan naqibah/naqib sebelum membuat pilihan, disamping bincang dengan mak bapa. Cuma bezanya ibubapa selalu lihat pada aspek keharmonian berkeluarga anaknya, tapi naqib/naqibah melihat pada keutuhan perjuangan dan dakwah dalam rumahtangga. Kalau tak…seakan tidak menghargai sumbangan naqib/naqibah yang sanggup sedarkan kita selama ini dengan percuma berbanding bertahun kita duduk dengan mak bapa.

Kecualilah mereka yang ditarbiah dan diusrahkan sendiri oleh mak bapa mereka macam anak-anak saya…he he..mereka takde pilihan. Harap anak-anak kalian pun sama suatu hari nanti…

AbuAysSyaffa’

ps: Buat masa ni, aku hanya mampu tersenyum membacanya.. Pilihan ditangan ku! :)

Alam dan Manusia.. Dua-dua pun makhluk..

December 9, 2008

Hakikat bumi Allah.. Hakikat yang hakikat..

BUMI DAH MARAH!!!”…

Bumi mahkluk. Sama macam kita. Cuma kita Allah bagi akal. Tapi kebanyakan kita tak nak guna. Allah kurnia hati, tapi kita hitamkan dengan maksiat dan kejahatan. Bila hati dah mula kotor dan terus dikotori, maka kebaikan tidak lagi menjadi pilihan. Bagilah nasihat dan penampor pun tak jalan. Kasornye ayat aku! Taklah, penampor manja. Bukan nak cari gadoh.. Tapi nak cari pasal je. hehe.. Apa hehe?

Maksiat, bila dah jadi rutin, dan tidak cuba dihentikan dengan segera, maka dengan sebab itu,  kita sengaja menempah bala Allah. Bala tidak semestinya tanah runtuh. Tidak semestinya berlaku hanya di Bukit Antarabangsa. Kita lihat, ia tidaklah seteruk tragedi Highland Tower yang berlaku lebih sepuluh tahun yang lalu. Ia bukanlah tragedi terburuk yang pernah berlaku di negara kita. Tsunami misalnya atau ribut greg di Sabah yang lebih dahsyat. Persoalannya di sini dan di mana-mana, adakah kita ambil ikhtibar?

Ya, kita kena bersabar, bersabar dalam kesedihan. Malangnya, kesedihan bukanlah atas sebab sedar bahawa azab Allah sedang mengingatkan. Tapi, sedih sebab kehilangan kereta merkudis, sebab hilang kemewahan yang di bina dalam sekelip mata.

Bagaimana kalau ia berlaku pada saya?

Ya, saya juga belum diuji sedahsyat itu. Wallhua’lam. Saya menulis bukan untuk menghentam semata-mata. Saya menonton berita, membaca akhbar dan ia memang menakutkan. Menakutkan kerana bala Allah Taala tanda kemurkaanNya. Pasti ada sesuatu di sebalik kejadian ini. Maksiat yang berterusan, bangga dengan kejahatan yang dilakukan dan mengajak orang lain melakukannya. Dan lebih bahaya lagi, jika tiada siapa yang mampu dan cuba untuk menghalang dan mencegahnya. Maka, kita semua sedang menanti bala demi bala.

Kita boleh lihat sendiri, bencana berlaku hanya di Bukit Antarabangsa tetapi  satu negara alami kebimbangan yang MELAMPAU. Ketakutan menyeleruh ini juga bala. Penghuni-penghuni apartment dan rumah teres akan tidur celik setiap malam. Tak percaya tanyalah depa. Itu belum cerita banjir lagi..

Ini bala. Ini tanda murka Allah.

Perhati dan fikir betul-betul. Rujuk balik Al Quran. Cuba faham apa pesan Allah terutama surah-surah dalam juzu ‘amma. Cek balik ibadah kita. Bersihkan hati dan berTAUBATLAH! Cukup-cukuplah! Saya juga tuan-tuan, bukan tuan-tuan je. Puan-puan dan cik-cik jugak.

Ketika entri ini ditaip secara spontan, saya dalam keadaan yang tidak berapa baik. Tapi InsyaAllah sahabat-sahabat, saya akan berselebung dan akan cuba sedaya upaya untuk berpeluh menjelang pagi esok.

Wahai Pencipta langit dan bumi.. Wahai Allah, Tuhan sekalian alam. ampunilah dosa kami.. Jadikanlah bala yang Dikau turunkan ke atas kami ini sebagai satu wadah dan peluang buat kami kembali ke pangkal jalan. Campaklah taufik dan hidayah ke atas kami dan jangan biarkan hati kami terus menerus di hinggapi titik-titik hitam yang akan membuatkan kami terus leka dengan nafsu dan kejahatan. Jangan biarkan Ya Allah. Pimpinlah kami. Terimalah taubat kami, Wahai penerima Taubat.. Wahai Pencipta langit dan bumi.  Wahai Tuhan sekalian alam.. Ameen Ya Rabbal ‘alamin..

ps: doa ini yang terdetik kat hati saya….. Maaflah, tajukpun spontan.. :) Saya memang macam ni.. Terimalah seadanya.. :D “Bang, kopi radix ada tak? Bagi satu ye, gelas kecik, susu sikiiiit je.”

Hikmah di sebalik Israk dan Mikraj

July 30, 2008

Salam Isra Mikraj..

Salam Ukhwah seteko radix :)

Mari sama-sama menghayati ringkasan petikan teks khutbah ini. Moga memberi manfaat kepada kita semua..

Marilah kita mendengar firman Allah Taala yang menceritakan tentang peristiwa agung yang berlaku dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.

Walaupun para ulama telah bertelingkah di dalam menentukan bulan dan tahun berlakunya Israk tetapi ia adalah peristiwa yang benar-benar berlaku kepada Rasulullah s.a.w. kerana peristiwa ini dinyatakan oleh al-Quranul Karim dan diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadisnya yang sahih, yang diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi.

Matlamat yang penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah s.a.w. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu.

Firman Allah Taala (maksudnya):

Maha suci Tuhan yang telah menjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis) yang Kami telah berkati di sekelilingnya supaya Kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami (tanda-tanda kebesaran dan ketuhanan Kami), sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israk: 1)

Peristiwa Israk dan Mikraj untuk menyatakan Rasulullah s.a.w. adalah benar seorang rasul yang dipilih oleh Allah SWT, membawa satu agama dan pengajaran yang bernama Islam, firman Allah (maksudnya):

Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.” (A-li Imran: 19).

Dan Allah menyatakan juga (maksudnya):

Dan sesiapa yang mencari (berpegang) dengan agama selain daripada Islam, maka Allah tidak akan menerima dan pada hari akhirat dia tergolong dalam orang-orang yang rugi.” (A-li Imran: 85)

Pada malam yang bersejarah itu, Rasulullah s.a.w. dihimpun bersama dengan roh para nabi dan rasul ‘alaihimus solatu wassalam di Masjidil Aqsa, mereka solat berjemaah bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi imam kepada mereka.

Ini menandakan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu daripada mata rantai ajaran Islam yang bersambung-sambung dari seorang nabi dan rasul kepada nabi dan rasul yang lain, bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman, tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w.

Allah SWT memilih nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan manusia. Mereka terdiri daripada manusia yang memiliki akhlak yang luhur lagi tinggi, bersifat benar, amanah, menyampaikan, cerdik dan bijaksana di kalangan kaumnya dan dipelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa.

Adapun mereka yang tidak memahami dan buta al-Quran tidak akan percaya kepada peristiwa Israk dan Mikraj, kerana pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. ditemukan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan Bani Israil dan nabi-nabi dan rasul di kalangan umat-umat yang lain, yang cerita-cerita mereka disebut dalam al-Quran, sebuah kitab Allah yang masih wujud sehingga hari ini. Ini menandakan kebenaran al-Quran.

Kebenaran al-Quran bukan sahaja menandakan betulnya Rasululah s.a.w. bahkan juga menjadi pengajaran kepada umatnya. Semua nabi adalah menganut agama yang satu iaitu agama Islam.

Semua mereka bersolat dalam keadaan menghadap Allah SWT dengan cara-cara solat yang diajar oleh Allah. Semua nabi berpegang dengan akidah tauhid lailahaillallah, tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah, tuhan yang layak disembah kepada-Nya, tuhan yang menjadikan dan menguruskan alam ini. Alam ini tunduk di bawah undang-undang peraturan Allah, maka wajib manusia hanya tunduk kepada undang-undang dan peraturan Allah SWT. Itulah ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul yang terpaksa berjuang mengharungi perjuangan yang panjang.

Di dalam peristiwa itu juga ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w. rasul yang disertai oleh pengikut yang ramai. Ada rasul yang disertai oleh pengikut yang sedikit, ada yang berjalan seorang diri, ada nabi yang dibunuh dan ada yang dipenjara.

Itulah nabi-nabi dan rasul-rasul yang membawa ajaran Allah yang berdepan dengan cabaran golongan manusia yang menjadi bala tentera iblis yang akan wujud sehingga hari kiamat.

Peristiwa Israk dan Mikraj untuk meningkatkan semangat Rasulullah s.a.w. supaya jangan takut dan gentar di dalam perjuangan Islam, kerana Islam yang dibawa itu ialah Islam Allah SWT.

Seluruh kuasa besar yang ada dalam dunia adalah habuk-habuk yang kecil yang boleh ditiup angin, bahkan ia lebih kecil lagi apabila berdepan dengan ketuhanan Allah SWT pada hari kiamat.

Seseorang yang menganut Islam hendaklah merasa mulia, tinggi dan hebat dengan Islam, dengan syarat mereka berpegang dengan Islam. Allah SWT memuliakan umat ini dengan Islam. Kehinaan yang menimpa umat ini apabila mereka meninggalkan Islam.

Ditunjukkan pada malam Israk dan Mikraj itu di mana perginya orang yang berpegang dengan Islam sehingga mati dan ke mana arah orang yang menyeleweng dan meninggalkan agama Islam.

Orang yang berpegang dengan Islam diletakkan di syurga dan mereka yang menyeleweng daripada Islam berada di dalam neraka. Hal ini digambarkan dengan jelas supaya diberitahu kepada umatnya sehingga kiamat.

Marilah kita menghayati peristiwa Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar cerita yang berlaku di dalamnya tetapi yang lebih penting ialah untuk menambah iman kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam untuk sehidup semati dengan Islam sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT.

Firman Allah (maksudnya):

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (A-li Imran: 102).

Petikan dari teks khutbah Rusila

12 Ogos 2007

Kubah terbang kebesaran Allah?

June 26, 2008

Salam secawan radix :)

Kerna diri ini tidak punyai banyak masa untuk entri baru, lantas artikel ini menjadi ‘mangsa’ untuk kita lapah bersama. :D Saya di saat ini sedang bergelut menyiapkan ‘assignment’ yang maha banyak.. Berpeluh juga ni.. Nah, artikel yang bagus untuk dikongsi bersama dari pemikir dan pemerhati yang bagus.. Itu saja. Bacalah! Selamat membaca dengan senyuman :) =

“Subhanallah, pokok itu rukuk!”

“MashaAllah telinga bayi ini membentuk perkataan ‘Allah’”

“Inilah kuasa Allah, kubah boleh terbang dengan zikir”

Rata-rata Muslim memandang sesuatu fenomena ajaib sebagai tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah. Asal ada saja kalimah Allah di langit, di bulan atau di mana-mana saja, cukup mudah untuk mulut ini menjustifikasikannya sebagai kekuasaan Allah. Padahal yang dilihatnya cumalah satu imaginasi dalam kepala sahaja.

Mengapa saya mengatakan ia hanyalah imaginasi? Kerana imaginasi inilah yang membuat kita meleret-leret sehingga tapak selipar, kasut, tayar, logo susu F&N pun dikatakan menyerupai kalimah Allah sehingga menyusahkan pengeluar produk tersebut. Mengapa pula tidak kata itu sebagai kuasa Allah? Bukankah kalimah Allah itu berada di mana-mana bahkan di selipar?

Nabi Musa dan Bani Israel

Apabila diceritakan ‘keajaiban-keajaiban’ seperti ini, saya teringat kisah Nabi Musa dan Bani Israel yang banyak disebutkan Allah dalam Al-Quran. Berbeza dengan para sahabat dan umat Muhammad, Bani Israel perlu disajikan dengan pelbagai mukjizat barulah mereka mahu beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, Musa A.S.

Dan (ingatlah), ketika Kami belah laut untukmu, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan (Fir’aun) dan pengikut-pengikutnya sedang kamu sendiri menyaksikan (AQ 2:50)

Dan Kami naungi kamu dengan awan, dan Kami turunkan kepadamu “manna” dan “salwa”. Makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu; dan tidaklah mereka menganiaya Kami; akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. (AQ 2:56)

Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”. Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air. Sungguh tiap-tiap suku telah mengetahui tempat minumnya (masing-masing). Makan dan minumlah rezki (yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi dengan berbuat kerusakan. (AQ 2:60)

Tapi apakah dengan ‘iman ajaib’ ini membuat mereka menjadi manusia paling bertaqwa? Bahkan mereka juga adalah kaum yang membunuh para nabi dan mengubah isi kandungan kitab Allah.

Berbeza dengan para sahabat yang pernah disabdakan Rasulullah sebagai golongan terbaik, mereka tidak perlu dizahirkan dengan mukjizat-mukjizat untuk mereka melafazkan syahadah. Cukuplah dengan beberapa ayat dari Al-Quran (Saidina Umar) malahan satu kalimah (Saidina Bilal) sudah membuatkan mereka beriman dengan Allah dengan sepenuh hati.

Apakah Kebesaran Allah?

Apakah makna kebesaran Allah bagi kita? Apakah dengan kejadian-kejadian pelik dan ajaib yang mengatasi kebiasaan (khawariqul adat) itu adalah kebesaran Allah? Ataupun fenomena biasa dan normal yang pada pandangan kita adalah amat membosankan itu adalah kebesaran Allah?

Kita lebih mudah mengucap ’subhanallah’ melihat bayi yang dilahirkan dengan berwajah seperti ular berbanding bayi yang dilahirkan normal.

Kita lebih mudah mengucap ’subhanallah’ melihat awan yang (kononnya) berbentuk kalimah Allah berbanding melihat awan yang biasa.

Kita lebih mudah mengucap ’subhanallah’ melihat kubah yang (kononnya) terbang berbanding melihat kubah dipindahkan dengan kren ciptaan inovatif akal manusia kurniaan Allah.

Mengapa mesti dengan perkara pelik dan ajaib baru beriman?

Bagi saya kebesaran Allah itu adalah pada proses kejadian hujan, putaran Bumi yang menghasilkan siang dan malam, perjalanan Bumi mengelilingi matahari yang menghasilkan empat musim, kejadian alam (Big Bang) dan sewaktu dengannya.

Bukan manusia berjalan di atas air, atau ikan bercorak kalimah Allah, atau pokok rukuk dan yang sewaktu dengannya.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal (Ali Imran: 190)

Beberapa Fakta

Manusia boleh berjalan di atas air dengan teknik silap mata.

Tidak pernah ada orang bukan Islam memeluk Islam kerana ada kalimah Allah di langit.

Artikel oleh Ahmad Saifuddin Amran
http://msaidhawwa.blogspot.com/

Celoteh Presiden GAMIS yang buat aku tersenyum..

May 27, 2008

Saya selalu katakan kepada teman-teman tentang dua fenomena malu yang sedang melanda ummah pada masa sekarang. Fenomena malu untuk mengaku diri sebagai ahli Umno selepas kekalahan teruk dalam Pru baru-baru ini dan fenomena malu untuk minum air Tongkat Ali selepas munculnya Radix.

Kawan saya Badri membeli satu paket Tongkat Ali untuk diminum bersama di rumah sewa, namun sebelah mata pun tidak dipandang. Sudah timbul satu perasaan malu dan paranoia yang mencengkam untuk mengambil Tongkat Ali yang sebetulnya tidak memberikan kesan yang baik tetapi sebaliknya. Boleh dikatakan hamper setiap orang menjadikan Radix sebagai pilihan, apatah lagi ternyata ia memberi kesan yang baik dan memuaskan.

Saya bukanlah ahli Hpa,malah saya berterus-terang bahawa saya langsung tidak meminati dunia perniagaan. Dunia saya adalah hadis-hadis nabawi, tafsir, penlisan dan pembacaan. Kalau saya menulis, saya boleh jadi sangat ghairah dan mengasyikkan. Namun Hpa adalah lambang kekuatan Islam, dan sepatutnya semua orang yang mengakui Islam sebagai agamanya menjadikan barangan Hpa sebagai pilihan.

Baca spenuhnya celoteh ini di http://dzulkhairi.blogspot.com/

MAI SECAWAN! (^_^)…

Mencari Damai Ummat ini

May 16, 2008

Manhaj Pemikiranku
Apabila saya menegur dan mengkritik bukan saja saya mesti bersedia untuk menerima respon balas (dalam bentuk penghujjahan positif atau negatif) dari pihak yang dikritik, tetapi juga saya mestilah jujur dan benar dalam teguran dan kritikan yang dilontarkan. Malah saya jua mesti terikat dengan etika mengkritik sekalipun berhadapan dengan kemungkinan hujjah balas yang tidak beretika dan berdisiplin.


Ianya tidaklah bermakna hanya saya yang benar. Berkemungkinan besar saya salah dan silap dalam mengemukakan pandangan dan setiap kali saya berbeza pendapat dengan pihak lain, apa yang saya harapkan agar Allah menunjuk jalan-Nya yang benar.


Inilah prinsip yang akan terus saya ‘genggam’ bersama sedikit nikmat ilmu anugerah Ilahi.Tidak senang sebenarnya untuk mengkritik, justeru kritikan adalah melahirkan rasa tidak setuju terhadap pihak lain yang berkemungkinan boleh mengguris perasaannya dan mungkin juga boleh mengendurkan tali persahabatan yang telah lama terjalin.


Namun begitu, selamanya saya tidak boleh berdiam diri terhadap suatu yang saya tidak bersetuju dengannya. Terutama dalam perkara yang melibatkan penyelewengan fakta, kekeliruan maklumat, tuduhan tanpa bukti, fitnah tanpa asas dan keangkuhan yang berpanjangan.


Lantaran itu, sebagaimana saya mesti tabah, terbuka dan berhati–hati dalam menatah kalimah bernada kritikan, saya juga sangat mengharapkan pihak lain (yang dikritik) tidak cepat melatah, berjiwa besar, jujur dalam menilai dan apa yang paling penting ialah, tidak menganggap kritikan itu sebagai satu peluru yang membunuh nilai persahabatan dan juga nilai keintelektualan atau kesarjanaan.


Saya percaya jika yang dikritik itu bertaraf sarjana, sebagaimana ia tidak mudah tewas hujjah begitulah seharusnya ia tidak mudah terpengaruh dengan elemen–elemen yang mengheretnya ke medan pergaduhan atau perbalahan yang menimbulkan rasa benci di hati dan kecewa di jiwa.


Sebaliknya ia mestilah sangat menghormati kritikan dan pandangan pihak lain biarpun ia menganggap kritikan itu hanyalah hujah picisan atau pandangan yang dangkal (sebab kita boleh tidak menerimanya), justeru menghormati pandangan dan kritikan pihak lain adalah suatu sikap terpuji dan selayaknya itulah penampilan seorang sarjana.


“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.” (Surah az-Zumar: 18)


Sikap tidak menghormati hujjah dan kritikan pihak lain hanya mempamerkan keangkuhan dan keegoan diri yang mungkin ‘teruja’ dengan pencapaian ilmunya atau anugerah kesarjanaannya.


Soalnya, apakah hujjah dari pihak kita sahaja menepati ciri-ciri ilmiyyah sedang hujjah dari pihak lain dinilai picisan biar pun sarat dengan hujjah dan dalil?


Saya suka membawa pendekatan para sarjana agung dalam sejarah peradaban Islam. Ternyata mereka sangat tinggi disiplin dalam menangani khilaf dalam apa jua isu, terutama dalam isu–isu yang tidak menjejaskan aqidah.


Ilmu dan tawadhu’ (merendah diri) menjadi asas disiplin tersebut disamping mereka mengetengahkan adab–adab ikhtilaf yang cukup wibawa dan berkualiti.


Lihat sahaja bagaimana imam–imam mazhab mengendalikan khilaf di kalangan mereka. Biar pun mereka menafikan sekeras–kerasnya hujjah pihak lain, tidak sedikit pun mencalarkan penghormatannya terhadap orang yang mereka kritik apatah lagi meremehkan hujjah pihak lain.


Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata terhadap imam As-Syafii;
“Beliau (Imam As-Syafii) adalah manusia yang paling faqih (paling faham) tentang Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.”


Lihat: Tarikh at-Tasyri’ al-Islami. Halaman 312, karangan As-Subki, As-Sais dan Al-Barbari, di ta’liq oleh Dr ‘Alauddin Za’tari.


Imam Ahmad bin Hanbal juga ada menyebut;
“Aku tidak mengetahui nasikh hadis daripada mansukhnya melainkan aku duduk bersama As-Syafii”.Lihat: Tarikh at-Tasyri’ al-Islami. Halaman 312, karangan As-Subki, As-Sais dan Al-Barbari, di ta’liq oleh Dr ‘Alauddin Za’tari.



Mereka berkhilaf di atas pentas ilmu yang dihiasi dengan keikhlasan dan ketaqwaan bukan semangat menegakkan benang basah dan bersikap prejudis terhadap pihak lain. Wajarnya disiplin mereka dalam menangani medan perbahasan dan penghujjahan ini diterima pakai dalam setiap pertikaian antara kita dewasa kini.


Saya akur, bahawa khilaf tidak mungkin boleh dihapuskan. Terlalu banyak punca dan sebab yang menghela ke arah khilaf. Perbedaan latar belakang menuntut ilmu sudah cukup meletakkan para ilmuan ini berkhilaf antara mereka. Tahap pencapaian ilmu, perbedaan manhaj dan method, jurang usia, perbedaan zuruf (suasana) , perbedaan kefahaman dan (maslahah) kepentingan turut menjadi penyumbang penting berlakunya khilaf.

Kita tidak perlu sempit dada dan sesak nafas dengan fenomena ini. Ianya sihat malah terlalu sihat andainya para ilmuan Islam ini dapat menanganinya dengan disiplin khilaf yang tinggi dan baik.



Mentajdid Gerakan Tajdid
Kecelaruan sosial, kekacauan minda, kekeliruan maklumat dan kesamaran ilmu meletakkan ummah dalam resah mendepani cabaran zaman. Menyaksi pula pertikaian dan perdebatan para ilmuan mereka, bagaikan tidak membawa tuah. Ummah kekal dirundung malang.Realiti ini membuktikan betapa ummah memerlukan gerakan tajdid dan islah ke arah membuka ruang dan peluang kepada mereka membina kembali kegemilangan dan kecemerlangan sebagaimana yang penah dicapai oleh ummat terdahulu. Ummat ini tidak hebat sekadar kita berbangga dengan sejarah dan pencapaian silam tanpa kita mencipta sejarah hebat untuk dibangga oleh generasi akan datang .


Menggerakkan usaha tajdid bukanlah membawa agama baru tetapi membawa ummah yang sekian lama jauh dari penghayatan agama agar kembali memartabatkan hidup berasaskan agama melalui sumbernya yang asal.Usaha tajdid tidak juga memperkenalkan istilah-istilah baru tetapi memahamkan ummah terhadap istilah dan falsafah agama yang suci berteraskan manhaj an-Nabawiyyah.Usaha tajdid tidak diasaskan di atas manhaj yang suka berpolemik dalam isu-isu khilafiah dan meresahkan ummah sebaliknya menggerakkan usaha untuk menenangkan ummah seraya membimbing mereka dengan ilmu yang benar dan membuka lebih banyak ruang persepakatan.


Usaha tajdid jua mesti terbit dari dhomir yang tinggi kecintaannya terhadap syariat dan tulus keikhlasannya terhadap ummah.Usaha tajdid memerlukan kepimpinan ummah yang berani dan mampu (layak) berijtihad berasaskan ilmu yang benar dan tasawwur amal Islami yang jelas.Usaha tajdid meletakkan para mujaddidnya di atas perjuangan yang hak dan tegas mempertahankannya.Usaha tajdid juga menampilkan mujaddid yang berani menentang perkara mungkar dan bathil sekalipun terpaksa mengorbankan segala kepentingan hidupnya.


Manhaj Perjuanganku
Sepanjang saya melibatkan diri dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS), bersama pengalaman gerak kerjanya mendepani segala cabaran dan isu ummah menjadikan saya sangat sayang terhadap perjuangan Islam yang suci ini.Walaupun PAS adalah sebuah parti politik, pada saya ia adalah sebuah gerakan Islam yang melaksanakan tanggungjawab ke arah mendaulatkan syariah Ilahi di atas tanahair ini. Justeru itu, hingga saat ini saya tidak pernah merasakan saya orang politik.Sebaliknya saya hanya seorang anggota sebuah gerakan Islam yang menjalankan tugas untuk mendaulatkan syariat Allah, memartabatkan ummah, berdakwah memahamkan masyarakat dan gerakkerja politik adalah sebahagian dari tugas yang wajib saya laksanakan.


Dasar perjuangan PAS sangat jelas, segalanya untuk Islam. Saya antara yang diamanahkan untuk memimpin dan mentarbiyyah anggota parti, bukan saja bertanggungjawab ke atasnya tetapi sangat masak terhadap perjalanan parti ini.Modul dan manhaj yang digunakan adalah untuk melahirkan anggota atau jundi yang ikhlas berjuang dan faham tanggungjawab serta amanah melaksanakan tugas sebagai pejuang Islam atau ansarullah.Saya sangat pasti akan ketulenan sumber dan keaslian maraji’ (tempat dan bahan rujuk) perjuangan yang saya dokong ini bahawa ia bersih dari segala penyimpangan aqidah dan penyelewengan fikrah yang membawanya keluar dari manhaj ahli sunnah wal jamaah.


Saya tidak dapat nafikan, dalam jumlah keanggotaan yang mencecah setengah juta ahli, tentu sahaja ada anggota parti yang “kebal tarbiyyah” dan “tidak makan saman”, namun mereka masih menjalani proses pengambilan skima tarbiyyah secara berperingkat. Biarpun tidak secara rasmi, tetapi ia akan banyak mempelajari selok-belok perjuangan melalui keistiqamahannya bersama perjuangan ini.PAS sangat tegas terhadap sebarang penyelewengan dan penyimpangan yang merosakkan prinsip perjuangan Islam dokongannya. Pemimpin atau ahli parti yang terlibat akan dikenakan tindakan melalui proses tata-tertib dan disiplin parti.Lantaran itu, bukti dan saksi sangat diperlukan dalam apa jua tuduhan dan prasangka bahawa PAS dan anggotanya menyeleweng dari perjuangan Islam dan manhaj ahli sunnah wal jamaah.


Sebagai contoh, tuduhan PAS atau anggotanya adalah Khawarij, Syiah, konservatif dan seumpamanya mesti dilampirkan bukti dan saksi. Melemparkan tuduhan dan memasang prasangka tanpa asas bukti dan saksi adalah suatu yang sangat mengecewakan dan pasti mengguris perasaan saya.Apalagi menuduh PAS akan menubuhkan negara Special Branch. Secara prinsipnya saya melihat tuduhan itu sangat tidak benar dan tidak pula mempunyai asas kecuali dilihat sebagai “melepas geram” terhadap PAS.Persoalannya, apakah wajar rasa tidak senang umum terhadap individu dalam parti lalu menjustifikasikan parti?Boleh menuduh, tetapi disiplinnya menuntut bukti dan saksi.


Nasihat Buat Rakan Seperjuanganku
Pun begitu, nasihat saya buat rakan–rakan seperjuangan jua mereka yang memimpin saya dalam parti ini agar konsisten dengan amal Islami bersama akhlak murni yang menjadi asas keperibadian seorang pejuang.Kita pejuang bukan pemberontak. Kita pendakwah bukan penghukum. Responsif terhadap isu ummah tetapi tidak melatah terhadap provokasi pihak yang tidak bertanggungjawab.


Hulurkan tangan membimbing biarpun lidah tegas menentang dan menegur kedholiman. Yang hak dikata hak dan yang bathil dikata bathil.Sampaikan salam perjuangan dan persahabatan kita buat madu’u serta bukalah pintu engagement kita buat semua. Namun pintu harus ditutup buat pengkhianat yang mengkhianati perjuangan suci ini.Tegurlah saya andai saya silap, bimbinglah saya andai saya tersasar dan bantulah saya andai saya benar.

“Apa yang saya cari, ialah damai buat ummat ini.”

Oleh: Ustaz Haji Nasrudin Bin Haji Hassan At Tantawi

Tutup aurat tidak sekadar bertudung

April 18, 2008

DALAM kamus Lisan al-Arab karangan Ibn Manzur menjelaskan makna tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan perhiasan serta kecantikannya kepada lelaki. (Ibnu Manzur, Lisan al-Arab, jld:3, hlm:33). Ini bermaksud apa sahaja perbuatan seorang wanita dalam menghiasi wajahnya serta tubuhnya supaya dilihat oleh orang lelaki dan ia termasuk juga memperagakan fesyen pakaian.

Dalam persoalan ini anda boleh lihat adanya tiga kategori wanita. Yang pertama, menutup aurat dengan sempurna. Kedua, menutup aurat tetapi tidak sempurna dan ketiga, langsung tidak menutup aurat.

Kumpulan pertama menutup aurat dengan sempurna kerana dia sedar bahawa itu adalah perintah Allah SWT. Menyedari bahawa hukum menutup aurat itu wajib serta memahami cara yang betul dalam menutup aurat.

Kumpulan kedua menutup aurat, tetapi tidak sempurna. Kategori ini mutakhir ini cukup banyak.


Menutup aurat bukan sekadar melilit sehelai kain di atas kepala tetapi memelihara kecantikan diri daripada diperagakan kepada orang awam. Kadang-kadang kepala ditutup dengan tudung tetapi pada masa yang sama potongan tubuh badan dipertonton kepada orang. Hakikatnya, pemahaman masyarakat wanita Muslim dalam persoalan menutup aurat masih cetek. Ungkapan “Daripada tak tutup langsung lebih baik tutup.” Kata-kata ini, tampak baik, semacam positif, pada hakikatnya suatu yang dangkal.

Kenapa perlu dibandingkan dengan yang tidak menutup aurat? Kononnya yang menutup aurat walaupun tidak sempurna sudah kira baik… Kenapa tidak dibandingkan dengan yang lebih sempurna dalam menutup aurat?

Itulah manusia yang banyak sangat beralasan dalam urusan dunia dibandingkan dirinya dengan yang lebih baik, manakala dalam urusan agama membandingkan dirinya dengan yang paling teruk.

Tidak salah berfesyen dalam bertudung tetapi sebelum dilihat kepada aspek fesyen, adalah lebih baik dilihat aspek hukum. Mungkin ada yang berpendapat bahawa pandangan saya agak jumud. Tetapi suka saya nyatakan bahawa takut saya pada Pencipta mengatasi keinginan nafsu manusia. Cuba lihat diri anda yang sempurna kejadiannya, cantik, rambut ikal mayang, sihat dan sebagainya.

Manusia itu sempurna tidak kira lelaki mahupun perempuan. Siapa yang menjadikan manusia berpasangan, ada lelaki ada perempuan? Jawapannya tidak lain tidak bukan ialah Allah SWT.
Dialah yang menjadikan rupa paras wanita dengan keayuan yang semula jadi, yang menjadi tarikan orang lelaki dan Dia jugalah yang memerintah agar kamu wahai wanita hendaklah menutup aurat.

Suruhan ini bukan daripada saya atau mana-mana ulama atau mufti, tetapi suruhan ini datangnya daripada Allah yang menjadikan kamu. Hairannya, manusia terima semua yang diberi oleh Pencipta seperti makan, minum, kesihatan, rezeki dan macam-macam lagi kalau mahu dihitung sudah pasti manusia tidak dapat menghitungnya nikmat tuhan, tetapi bila disuruh menutup aurat dia ingkar, suruh solat dia ingkar, suruh zakat dia ingkar dan banyak lagi keingkaran yang dilakukan oleh manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – Wahai ‘AhlulBait’dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (daripada segala perkara yang keji).” (al-Ahzab: 33)

Seorang ahli tafsir mengulas ayat ini dengan berpendapat: “Tabarruj wanita bermakna dia (wanita) meletakkan penutup (kain selendang) atas kepalanya dan tidak mengikatnya sehingga boleh dilihat leher dan segala perhiasannya, termasuklah rantai dilehernya.” (Ibn Kathir, jld: 3, hlm: 482-483).

Manakala Abu Ubaidah berpendapat: “Tabarruj bermaksud seorang wanita menampakkan kecantikannya yang memungkinkan orang lelaki ghairah.”(Tafsir al-Alusiy, jld: 21, hlm: 8)
Ulasan ulama dalam ayat di atas serta kaitannya dengan perhiasan di zaman jahiliah. Maksudnya sebelum kedatangan Islam orang Arab perempuan memang sudah menutupi kepala mereka.

Setelah Islam menyinari bumi, dan lokasi sinaran itu ialah Mekah. Jadi masalah sosial juga berlegar dalam persoalan masyarakat hari itu.

Selepas turunnya ayat dari surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud:
Dan hendaklah kami tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliah yang dahulu dan terus dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya.”

Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan daripada kamu, hai ‘ahl al-bait’ dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.

Lantaran itu, wanita-wanita Islam segera menutup aurat dengan sempurna sehingga tidak mendedah rambut, leher dan segala perhiasan di leher mereka. Inilah perbezaan yan ketara antara wanita Islam zaman ini dengan wanita Islam di zaman Nabi SAW.

Generasi al-Quran ini cukup unik dan dinamik. Apabila sampai sahaja perintah Allah SWT melalui al-Quran, mereka segera menyahut tanpa sebarang bantahan dan alasan.
Sebagai balasannya, Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, yang pastinya di atas sifat tunduk dan patuh kepada perintah dan suruhan Allah SWT, mereka kelak akan dibalas dengan syurga yang tidak tergambar nikmatnya.

Hari ini macam-macam alasan diberi untuk melepaskan diri daripada perintah Allah SWT.
Dulu, zaman Nabi SAW, orang-orang Arab kuat nafsu, sebab itulah wanita zaman itu kena berkelubung, pakaian warna hitam, tutup muka dan sebagainya. Kalau betul apa yang didakwa, minta tolong kemukakan kes-kes rogol dan pencabulan yang ada pada masa itu. Itu di zaman jahiliah.

Wanita Melayu juga pada satu ketika dahulu, mungkin awal 1950an, perempuan-perempuannya berkelubung dengan kain batik, bila dengar suara lelaki lari menyorok, tidak mudah keluar rumah.

Maksudnya pergerakan dan perwatakan mereka dikawal oleh kedua-dua orang tua. Adakah pada awal tahun 1950 banyak kes rogol, pencabulan, buang anak, gugurkan janin, anak luar nikah, lari dari rumah, kanak-kanak hilang dan sebagainya?
Keruntuhan moral, budaya dan ancaman luaran yang menyebabkan segala macam bencana manusiawi yang tidak pernah berlaku di zaman jahiliah dan juga di awal kemerdekaan berlaku hari ini.

Dewasa ini orang pakai tudung sempurna pun tidak selamat, ini pula sengaja mendedahkan aurat semacam bersedia untuk dibaham.

Kecantikan seorang wanita terletak pada sejauh mana ketaatannya kepada Allah SWT. Adalah suatu yang salah kalau orang perempuan merasakan kaum lelaki akan tertawan dengan rupa parasnya semata-mata tanpa melihat kepada unsur-unsur keagamaan pada dirinya.
Jarang pembeli memilih kuih yang terdedah kepada lalat, asap dan kotoran. Biasanya pembeli akan memilih kuih tertutup dengan tudung saji. Kecantikan dan rupa paras yang Allah SWT berikan adalah untuk tontonan suami bukannya untuk orang lain. Dunia dipenuhi dengan perhiasan, maka sebaik-baik perhiasannya ialah wanita solehah.

Ustaz Farid Ravi Abdullah
Pensyarah Jab AlQuran & As-sunnah, KUIS
Soal Jawab Agama
18 April 2008 / 11 Rabiul Akhir 1429

Mari sama-sama mengisi kemenangan 2008

March 18, 2008
Kemenangan dan kekalahan di dalam Pilihanraya Umum ke-12 pada 8 Mac lalu adalah lembaran baru untuk Malaysia Baru.Kemenangan yang dicapai mengatasi teori-teori politik perdana yang mengisi wacana pra pilihanraya. Ia terlalu jauh dari jangkaan semua pihak.
Hakikatnya, Allah SWT sudah pun memberitahu:”Dan mereka telah merancangkan (konspirasi) , dan Kami pula merancangkan (balasannya) , sedang mereka tidak menyedarinya. ” (Al-Naml 27 : 50)
Saya yakin, rejim yang baru ditumbangkan itu tidak pernah sedar dan tidak pernah mengambil kira soal `perancangan Allah’. Mereka sangat yakin dengan segala keupayaan yang ada untuk meneruskan tradisi kemenangan yang sudah bagai tahu sebelum diberitahu. Kuasa majoriti besar, kuasa penguasaan media yang amat keterlaluan, kuasa wang, kuasa SPR dan segala-galanya, terungkap dalam keangkuhan hingga mereka lupa kepada Makar Allah terhadap makar mereka.Mereka lupa siapa Allah terhadap KUASA.
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Aal Imraan 3 : 26)
Setelah sekumpulan manusia membelakangkan tujuan Allah memberi kuasa, bahawa untuk mereka menegakkan keadilan dan memuliakan manusia dengan kemanusiaannya, Allah mencabut kuasa itu dan menyerahkannya kepada pasukan lain yang dengan sepenuh hati menyatakan kesediaannya untuk berlaku adil.Jika tidak Allah, siapakah yang mengubah hati pengundi hantu untuk mengundi Barisan Rakyat? Siapakah yang membuang prejudis dari hati kaum non-Muslim untuk menyokong PAS? Allah yang Maha Adil memuliakan keadilan, dan mengangkat manusia yang menjunjung keadilan, menghina dan menjatuhkan si zalim dan kezalimannya.Itu sifir jatuh bangun setiap sudut kehidupan manusia sebagaimana yang tercatat di dalam rakaman sejarah.
SEGALANYA BARU
Segala-galanya adalah baru.Sebagaimana Khir Toyo, Tajol Rosli dan Mahadzir Khalid perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa kuasa bersama status baru sebagai Ketua Pembangkang, begitulah suasana baru ini memerlukan semua pihak untuk belajar menyesuaikan diri.Kelantan menang selesa untuk meneruskan agenda yang telah sedia ada.Akan tetapi bagi negeri-negeri lain seperti Kedah, Pulau Pinang dan terutamanya Selangor dan Perak, ia adalah sesuatu yang baru. Suasana yang baru ini memerlukan kita kepada sikap yang segar dan baru untuk menyambutnya dengan betul. Bukankah sebelum pilihanraya lagi, kita sudah bekerja keras untuk mewujudkan pendirian yang segar dan baru untuk mengundi?Kita melihat kaum Cina dan India tanpa ragu-ragu mengibarkan bendera PAS dan PKR. Malah mereka hadir dengan jumlah yang amat signifikan ke ceramah kempen-kempen pilihanraya PAS dan PKR hingga sebahagiannya terangsang untuk sama bertakbir! Itu pengalaman saya sendiri semasa berkempen. Dan itu sudah pun mencorakkan Malaysia dengan Malaysia yang baru.Biar pun agak penat berdepan dengan usaha menyuntik pembaharuan kepada politik orang Melayu (akibat pelbagai TAHU tetapi terus lemah MAHU dan MAMPU), namun suasananya tetap suasana baru. Orang Melayu yang Muslim itu, dengan semangat Islam mereka pantas menyokong dan mengundi PKR malah DAP!”Ada pahala ke ustaz, kalau undi DAP?”, tanya orang kepada saya.”Pastinya, pengundi BN tahun 2008 dunia tak dapat, Akhirat pun tak dapat!”, itu jawapan ringkas saya. Dalam erti kata yang lain, tiada lagi PAS untuk Melayu Muslim atau DAP sebagai lawannya. Kesemuanya bergerak senada bahawa kita menolak kezaliman dan penindasan Barisan Nasional, lantas setiap parti menerima sokongan yang amat pluralistik wajahnya.
MENGAPA MAHU KEMBALI KEPADA YANG LAMA
Setelah kejayaan di dalam pilihanraya dikecap dengan usaha baru, mengapa kemenangan itu mahu disambut dengan kembali kepada isu-isu lama? Kenapa mahu berpatah kepada square one?13 Mei 1969…Ia menjadi titik resah segelintir yang silap membaca sejarah.Pilihanraya 2008 bergerak bukan dengan sentimen perkauman. Isunya bukan isu perkauman. Bukan Melayu tipu Cina atau India, bukan Cina atau India yang menjadi masalah kepada Melayu. Tetapi Melayu, Cina dan India bangkit untuk berdepan dengan Barisan Nasional, yang menjadi masalah kepada semua orang.UMNO kalah, MCA kalah, MIC kalah. Pemenang adalah rakyat yang menjunjung keadilan dan menolak kezaliman.Ini sudah cukup untuk menjadikan 8 Mac 2008, tiada kena mengena dengan 13 Mei 1969.Tambahan pula dengan sokongan warna warni yang diterima oleh PAS, PKR dan DAP… menjadikan sentimen perkauman sungguh tidak relevan. Sebaliknya harapan setiap pengundi yang mengundi pembangkang, tanpa mengira parti, adalah untuk memulihkan harapan kita bagi melihat Malaysia yang lebih sejahtera.Pagi Ahad 9 Mac 2008 adalah pagi yang sangat aman.Ia mendamaikan jiwa kita semua.Malah pihak yang menang sudah pun membuat kenyataan awal bahawa kemenangan ini tidak akan disambut dengan apa-apa acara, khususnya acara jalanan, kerana menghormati kemenangan itu sebagai suatu tanggungjawab. Ini juga sudah amat berbeza dengan mood 1969.Begitu juga dengan majoriti pengundi 2008. Mereka bukan lagi Melayu yang sengsara dengan penyeksaan zaman Jepun atau era komunis. Mereka bukan lagi Cina atau India yang diberi kerakyatan, tetapi mereka adalah anak Malaysia yang melihat negara ini dengan pandangan yang sama seperti pandangan Melayu.Jika Malaysian Malaysia yang dilaungkan oleh DAP pada 1969 banyak bercakap tentang soal HAK, maka laungan Barisan Rakyat pada 2008 lebih banyak bercakap tentang soal PERANAN.1969 hanyalah modal divide and rule yang selayaknya diperkatakan oleh golongan yang kehilangan kuasa semata-mata. Perlakuan membakar Tadika KEMAS atau apa sahaja yang bersifat provokasi kebelakangan ini, hanyalah perlakuan golongan yang tidak dapat menerima kekalahan. Apa rasionalnya untuk Barisan Rakyat bertindak sedemikian?Bagi Barisan Rakyat, kita harus memandang ke depan, dengan wajah dan sikap yang baru.
ANTARA HAK DAN PERANAN
Sikap baru yang diperlukan oleh kita semua bagi mengisi kemenangan 2008, amat bergantung kepada persepsi kita kepada soal HAK dan PERANAN.Hal ini lebih ketara untuk menjawab isu yang berlaku di negeri Perak.Tentu sekali, tiada dalam perhitungan PAS, DAP dan PKR di Perak untuk merancang kemenangan hingga beroleh kuasa. Malah isu Undang-undang Tubuh Negeri yang menjadi topik hangat semasa juga tidak timbul sama sekali kerana tidak tergambar di fikiran sesiapa untuk melihat Barisan Nasional bergerak sebagai pembangkang di negeri ini.Proses perlantikan Menteri Besar dan seterusnya Exco Kerajaan Negeri, sangat memerlukan kita semua kepada memfokuskan soal PERANAN berbanding HAK.Rakyat secara keseluruhannya mengundi DAP, PKR dan PAS bukanlah sebagai ekspresi menuntut hak. Sebaliknya kita semua mahukan sebuah kerajaan baru yang lebih baik, yang lebih berkesan dalam melaksanakan peranannya. Maka pembentukan kerajaan baru di negeri Perak mestilah keluar dari soal perdebatan tentang hak kepartian, sebaliknya kembali memikirkan soal efisyensi dan peranan… kerajaan yang bagaimanakah yang membolehkan mereka berperanan dan bukannya soal kerajaan yang bagaimanakah yang berjaya memberikan hak atas asas parti.Saya sebagai anak Perak, mahukan pemimpin yang mampu berperanan dan menyuburkan persefahaman dalam kerajaan baru serba baru ini, tanpa mengambil kira soal parti. Saya tidak mahu dipimpin oleh Melayu yang tidak berkemampuan.Saya meyakini kebijaksanaan Istana Perak yang bertuah dengan Sultan Negeri yang juga bekas Ketua Hakim Negara. Begitu juga dengan pemangkunya yang amat terpelajar dan berpemikiran tinggi untuk mengatur kami rakyat Perak dengan sebaiknya. Perak adalah negeri yang terbukti bijak, pada tahun 2008.Malah saya juga meyakini keterbukaan pemimpin PAS, DAP dan PKR untuk mengambil peluang dari kemenangan ini untuk saling bekerjasama, belajar dan mengajar serta memfokuskan orientasi mereka kepada peranan dan bukan lagi permainan hak yang sudah sekian lama membantutkan Taaruf yang tulen oleh sesama rakyat yang berbilang bangsa juga agama.
PELUANG BELAJAR
Bagi PAS Perak, ambillah peluang ini untuk belajar dan menimba pengalaman yang unik. Jika PAS Perak berjaya membangunkan pemikiran siasah mereka dalam suasana Perak, maka PAS Perak boleh menjadi model terbaik untuk PAS yang compatible dengan realiti Malaysia.Allah SWT menganugerahkan PAS Perak dengan peluang untuk mencanai fikrah dan agendanya dalam suasana kerajaan campuran, agar PAS bertemu dengan formula Politik Islam yang berjaya mentadbir kepelbagaian bangsa dan agama, yang sebelum ini hanya mampu berteori.Kelantan dan Terengganu tiada peluang seperti ini kerana dominasi penduduk yang Melayu Muslim yang ketara.Namun di negeri Perak, PAS berpeluang untuk duduk bersama kaum dan agama yang pelbagai… ia bakal menjadi pengalaman yang amat berharga untuk menafikan dakwaan Olivier Roy di dalam analisanya, “The Failure of Political Islam”.Bukan sahaja untuk PAS, malah DAP juga berpeluang untuk lebih mendekati kaum yang pelbagai.Di kawasan saya di P.64 dan dan.27, pengundi Melayu mengundi DAP untuk menambahkan kemenangan Lim Kit Siang dan Su Keong Siong tanpa pernah mengenali dan bersemuka dengan mereka berdua.Tetapi undian diberikan kerana Lim Kit Siang merupakan seorang Ahli Parlimen yang sangat efektif. Beliau memainkan peranan yang penting dalam membela nasib rakyat melalui PERANANnya di Parlimen dan dikenali sebagai the sworn enemy of corruption, abuses of power and gross mismanagement . Pengundi beliau di P.64 berbangga menghantar Ahli Parlimen yang paling aktif, malah menjawat jawatan Ketua Pembangkang dengan berkesan. Ia jauh lebih membanggakan berbanding dengan pengundi di P.41 yang menghantar sang penidur dan punca kemerosotan partinya sendiri.Begitu juga dengan Thomas Su yang menjadi ADUN di dan.27 Pasir Pinji harus mengambil peluang dari mood 2008 untuk mendekati penduduk Melayu di Kampung Pasir Puteh dan PAS Kawasan boleh memainkan peranan untuk menjadi orang tengah dalam memobilisasikan Thomas Su agar lebih mesra dengan pengundi Melayu.Ia adalah peluang belajar untuk semua.DAP dan PAS yang lebih berkepelbagaian, bersama PKR yang boleh banyak berperanan untuk menjadi pendamai antara dua dimensi DAP dan PAS… akan menghasilkan formula terbaik untuk Malaysia.
“Dan mereka itu pun merancangkan tipu daya, dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya” (Aal Imraan 3 : 54)
Nak tengok Malaysia baru, tengok Perak!
ABU SAIF @ www.saifulislam. com
56000 Kuala Lumpur