Kita dan anak

Anak semakin membesar. Tanggungjawab menjaga anak semakin berat dirasakan. Menjaga dalam Islam bukan setakat makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Lebih dari itu, memberi kefahaman tentang Islam itu sendiri. Pilihan dan metod mendidik sudah tentu tidak sama bagi setiap ibubapa. Lewat kebelakangan ini, saya melihat’trend’ ibubapa semakin ramai menghantar anak seawal 3 atau 4 tahun ke pusat pendidikan awal kanak-kanak(tadika/taska). Kesedaran sudah ada dan baik. Tinggal lagi apa tujuan menghantar anak seawal umur itu. Mahu benar-benar mendedahkan anak dengan pendidikan awal di sekolah atau mahu melepaskan tanggungjawab mendidik semata-mata kepada orang lain disebabkan dunia? kerja?

Ia sering menjadi perdebatan. Ibubapa sibuk dengan kerja sementelah anak dibiarkan kebanyakan masanya dengan guru di sekolah dan lebih teruk selepas itu dengan orang gaji di rumah.  Saya mungkin akan dikritik tentang ini. Saya tidak kisah. Saya menulis begini mungkin kerana ayah saya berkorban meninggalkan begitu banyak peluang untuk senang ketika zaman beliau masih bekerja demi masa dengan anak-anak. Ibu saya pula surirumah tetapi begitu gigih mendidik kami ketika di rumah. Masih segar dalam ingatan, beliau setia duduk bersama menemani kami adik beradik mengulangkaji dan menyiapkan tugasan sekolah. Kalau jam 12 tengah malam baru selesai tugasan, 12 tengah malam lah ibu masih bersama kami. ‘Demand’ beliau sentiasa tinggi. Kalau ada tanda ‘merah’ dalam buku latihan, dalam kertas peperiksaan kami akan dimarahi dan disoal.  Ibu saya bukan ada ijazah pun. SPM sahaja. Tetapi keinginan untuk menjadi sebahagian dari proses mendidik anak menyebabkan beliau sentiasa berusaha belajar banyak perkara dengan maklumat yang terhad demi masa depan kami. Saya akui ketika itu, saya begitu tertekan dengan ‘KPI’ yang ibu tetapkan. Soal ibadat (solat dan Al Quran terutamanya), adab dan akhlak itu lebih-lebih lagi. Itu tidak boleh, itu dilarang, wajib buat itu, mesti buat ini dan sebagainya.

5 tahun lepas, ketika isteri saya melahirkan anak sulung kami, saya kerap berbincang dengan isteri tentang kaedah yang kami mahu gunakan dalam mendidik anak. Kami banyak berkongsi-kongsi artikel dari ramai tokoh-tokoh. kami juga kerap meminta pandangan orang tua dan kawan-kawan senior dalam mendidik anak. Selepas beberapa ketika, apabila anak semakin membesar kami tidak langsung ‘implemen’ apa-apa yang kami perolehi baik dari pembacaan atau pun dari sumber-sumber lain. Kami percaya kami harus lakukannya sendiri kerna setiap anak berbeza sikap dan tingkahlaku mereka.

Zaman kini begitu mencabar. Tindak tanduk mereka berbeza dari hari ke hari. Mereka belajar banyak perkara. Ada yang kita sedar dan ada yang tidak. Tidak sedar mungkin kerana perkara tersebut dipelajari dari banyak medium lain seperti TV, radio, telefon pintar, pergaulan dan sebagainya. Ia menunjukkan juga betapa perlunya kita memantau anak setiap masa. Anak, perkara yang mereka pelajari ada yang baik dan ada yang tidak baik. Saya berani katakan di sini bahawa perkara yang tidak baik yang dipelajari anak samaada percakapan atau perbuatan secara fizikal itu juga baik untuk anak. Di sini lah akan terbitnya kewibawaan kita sebagai ibubapa dalam mengendalikan anak.

Contoh yang mudah, kini semakin ramai ibubapa membawa anak ke masjid/surau mereka seusia anak saya 4 tahun. Melihat anak-anak kecil berlari-lari dan bermain-main itu biasa. Normal bagi anak kecil. Ada yang membiarkan sahaja dengan mengatakan “alahh, takpa. Budak kan. Biasa lah”. Dan ada pula yang bertegas walaupun anak itu baru berusia 3/4 tahun. Saya memilih untuk bertegas sejak usia anak saya 3 tahun. Ini soal adab dan akhlak di rumah Allah.. Saya nekad kerana masa saya tidak banyak di rumah berbanding isteri. Isteri didik anak di rumah ketika saya bekerja. Dan saya pula dengan masa yang terhad akan ’emphasize’ apa yang isteri sudah ajar di rumah. Apabila saya bagi arahan untuk diam di masjid ketika orang solat maknanya saya sentiasa tekankan setiap kali saya bawa anak saya sejak usianya 3 menghampiri 4 tahun. Dia mungkin akan mengambil masa untuk faham.

Ya. Dia terlalu kecil untuk faham. Namun, tugas kita yang mahu membawa anak sekecil itu ke rumah Allah ialah memberitahu mereka apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak dan dilarang. Saya sudah menjangka anak akan selalu berbuat ‘nakal’ ketika di masjid/surau dan ‘bijak’ mengelak dari kita supaya tidak diketahui biarpun beratus kali sudah dipesan ‘jangan main depan orang yang sedang bersolat dan sebagainya’. Tetapi beratus kali jugalah saya bertegas dengan anak dengan suara sedikit keras sesuai dengan usianya ketika itu. Ada masa dan ketika saya juga silap kerana terlalu bertegas dengan suara yang begitu keras. Namun, percayalah itulah proses yang saya lalui dan pelajari sebagai bapa. Anak juga lalui proses yang sama. Jangan putus asa kerna anak kecil yang selalu berbuat silap masih boleh dilentur. Kita harus gigih mendidik disamping harus juga berdoa dan mengharapkan bantuan Allah.

Ia mengiyakan lagi peribahasa ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Marahlah, bertegaslah, menangislah sekarang dek sebab mendidik anak ketika masih kecil. Jangan kita menunggu membiarkan dan menangis nanti dikemudian hari.

Akhir tulisan dalam entri kali ini, jagalah anak kita kerana Allah dan Rasul. Tanamkan di dalam hati kita, keinginan yang kuat supaya anak membesar dengan baik akhlak dan adabnya. Bukan semata-mata mahu berjaya di dunia. Fokus kita, cemerlang di dunia dan cemerlang juga di akhirat. InshaAllah. Wallahu’alam.

Ps: Seorang penyelidik barat bernama Kang Lee, dari hasil penyelidikan kelakuan kanak-kanak selama 20 tahun menyatakan ‘kanak-kanak yang sudah pandai menipu/berbohong ialah kanak-kanak yang normal yang pintar’. Beliau berkata, “Jika anda mendapati anak anda menipu buat kali pertama, anda patut meraikannya – bukan memarahinya”.  Saya tidak ingat bila anak saya mula pandai berbohong. Dan saya juga tidak ingat jika saya pernah berjaya meng’kantoi’kannya. Hmmm.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s